~Korban Istikharah Cinta~

Saranan Rasulullah SAW  sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas: “Apabila kamu bercadang melakukan sesuatu perkara, maka beristikharahlah kepada Allah sebanyak tujuh kali. Kemudian lihatlah apa yang terlintas dalam hati kamu, maka itulah yang ada kebaikannya”.

Istikharah adalah manifestasi ketaatan dan adaab sopan seseorang hamba terhadap penciptaNya. Dengan mengajukan permohonan kepada Allah sebelum melakukan pekerjaan, seorang hamba itu sebenarnya mempamerkan akhlak orang beriman, beramal soleh dan merendah diri dihadapan Tuhan yang menjadikannya.

Namun demikian, fenomena pada masa kini telah melakukan kesilapan dalam memahami makna istikharah itu yang sebenar. Sebagai contohnya ;

Kes 1:

Selepas bercinta lebih 3 tahun, Fatimah (bukan nama sebenar) sangat bahagia apabila teman lelakinya menghantar rombongan meminang dan mengikat tali pertunangan. Saban hari, dia menghitung waktu menantikan tibanya saat bahagia diijabkabulkan dengan insan tersayang. Namun mengejutkan, ketika hari pernikahan yang dinantikan tidak sampai sebulan lagi, tunangnya meminta hubungan mereka diputuskan. Sudah tentu bukan sedikit tekanan yang dialami oleh Fatimah yang tidak mengerti salah silapnya. Beban aib juga terpaksa ditanggung oleh keluarganya gara-gara dia putus tunang. Namun yang lebih membingungkannya ialah si lelaki memberi alasan istikharah sebagai penyebab hubungan mereka putus.

Inilah akibat dari kesilapan memahami istikharah sehingga membawa kepada perbuatan yang jauh lebih memudharatkan. Masakan petunjuk daripada Allah menganjurkan agar seorang hamba memutuskan pertunangan secara mendadak. Bayangkan dosa yang dilakukan ekoran daripada petunjuk sonsang yang diamalkan; seorang wanita tidak berdosa diaibkan dan dizalimi, seluruh keluarga terjejas maruah dan harga diri, dan terpaksa menanggung kerugian yang bukan sedikit. Dalam kes seperti ini, istikharah tidak digunakan sebagai panduan memohon petunjuk Allah, sebaliknya ia digunakan sebagai “memaksa” Allah membuat keputusan untuk mereka. Ia juga sebagai alasan lelaki dayus yang tidak mempunyai keberanian meneruskan perkahwinan dan memikul tanggung jawab atau memutuskan pertunangan!

Kes 2:

Sudah berpuluh kali saya melakukan solat istikharah, tetapi belum mendapat apa-apa mimpi yang berkaitan? Saya sudah banyak kali melakukan istikharah, tetapi wajah tunang saya tidak muncul juga, sebaliknya wajah wanita lain yang muncul. Mungkin jodoh saya bukan dengannya, tetapi dengan wanita lain.

Demikian senario lucu sekitar persoalan istikharah yang sering didengar dari kalangan sahabat dan keluarga. Apakah setiap keputusan yang betul itu perlu disahkan melalui mimpi? Hebat sangatkah ibadah kita ini sehingga setiap perkara perlu Allah sampaikan melalui mimpi seperti para nabi? Bagaimana menentukan mimpi yang dialami adalah petunjuk Tuhan bukan mainan syaitan?

Senario beramal tanpa ilmu seperti ini kian membarah dalam soal istikharah ini. Ramai berharap Allah memberikan petunjuk seperti “lampu isyarat” dijalan raya. Menggunakan mimpi kononnya sebagai petunjuk yang Allah utuskan bagi memberikan keputusan yang tepat, membuka banyak ruang kekeliruan dan tipu daya syaitan. Tiada jaminan melalui al-Quran atau hadis bahawa sesiapa mengerjakan istikharah , dia akan mendapat mimpi yang benar daripada Allah, bukannya syaitan.

Seorang muslimah misalnya, apabila dilamar seorang lelaki, perlu melakukan penyelidikan dan kajian terhadap calon yang meminang. Kajian yang dilakukan dengan bantuan ibu bapa atau orang lebih dewasa merangkumi aspek agama, budi pekerti, akhlak, usia, kemampuan kewangan dan keserasian. Soal hati juga menjadi penilaian. Ketika ini juga solat istikharah dilakukan. Kecenderungan hati yang didasari penyelidikan yang jelas dan dibantu pula dengan solat istikharah memberikan jawapan yang lebih tepat kepada keputusan yang dibuat. Sekiranya masih belum dapat memberikan kata putus, solat istikharah perlu terus dilakukan dan penyelidikan juga perlu dipertingkatkan.

Keputusan yang dicapai melalui dua kaedah ini sangat membantu seseorang berpegang dan reda dengan keputusannya. Ia juga bagi mengelak sangkaan buruk kepada Allah apabila pilihan yang dibuat berdasarkan “petunjuk Tuhan” ini diuji dengan masalah. Perkahwinan yang diputuskan dengan istikharah tidak sunyi daripada ujian rumah tangga lain, malah perkahwinan ini mungkin berakhir dengan tragedi penceraian. Apakah seseorang itu akan menyalahkan Tuhan diatas petunjuk salah yang diberikan?

Kesimpulannya, kita sendiri bertanggung jawab membuat keputusan  dan tidak “memaksa” Allah memberikan petunjuknya. Istikharah bererti kita menyertakan reda Allah dalam melakukan keputusan. Terpulang pada Allah menentukan apa yang berlaku dengan keputusan yang diambil.

 

Edit: Majalah Fardhu Ain

By nuraminamyblog

2 comments on “~Korban Istikharah Cinta~

Leave a comment